CERPEN "Kematian Demi Kematian "
CERPEN "Kematian Demi Kematian "
KEMATIAN DEMI KEMATIAN
Karya Unsung Heroes
Satu demi satu episod kematian mula bermain dilayar mataku. Aku hayati ia satu persatu. Air mata yang jatuh dikesat perlahan. Hati aku masih sebak mengenangkan semua pemergian yang terpaksa aku lihat setiap hari. Buku yang berada dihadapanku aku tutup perlahan. Buku berwarna hijau pudar itu tiada yang istimewa apabila dilihat daripada luar tetapi isi didalamnya mampu merentap hati dan jiwa manusia. Dalam buku usang itu, sudah banyak cerita yang aku curahkan. Semuanya tentang pesakitku. Hanya pesakit, tiada insan lain lagi.
Perlahan aku bangkit daripada kerusi rotan yang sedang dimamah usia itu. Langit kelihatan begitu gelap tetapi tenang dibalik tingkap bilikku. Aku raut perlahan wajahku. Aku terus mengatur langkah ke bilik air. Kepala paip dipulas penuh hemah dan air yang sejuk sehingga ke tulang mula mengalir keluar. Sama laju dengan air mataku suatu ketika dahulu. Aku mengambil wuduk dan terus membentangkan sejadah. Di atas sejadah kecil itu, aku mengelamun. Jiwa dan hati aku kosong. Kosong seperti mana aku lihat katil pesakit yang dulunya berpenghuni sudah bersih dikemas.
Wajah mereka yang pernah menjadi pesakitku mula bermain difikiranku. Melihatkan senyuman dibibir mereka sebelum pergi menghadap pencipta sangat merobek luluh hati milikku. Adakah aku sudah menjaga mereka dengan sempurna? Adakah aku ikhlas merawat mereka? Demi Allah, semuanya bercampur menjadi satu. Tiada perumpaan yang dapat disamakan dengan perasaanku tika itu. Air hangat mula keluar membasahi pipi. Aku seka ia perlahan. Akhirnya, aku menangis diatas sejadah kecil itu. Teresak-esak seperti anak kecil yang kehilangan ibunya.
Hampir sejam, aku diam membisu tanpa kata. Hanya air mataku yang berbicara dengan Tuhan yang Maha Esa. Entah kenapa, kematian yang terbaru ini amat memberi kesan. Memberikan aku nafas baru untuk meneruskan tugas ini. Kata maaf yang keluar daripada bibir pucat itu kedengaran begitu lemah ditelingaku. Dia sudah mahu pergi katanya. Malaikat sudah datang untuk menjemputnya pergi. Akhirnya, lelaki tua itu menghembuskan nafas terakhirnya. Sangat tenang wajahnya. Tiada langsung riak sakit diwajahnya. Mata yang terbuka sedikit itu aku tutup menggunakan tangan penuh dosa milikku ini. Aku mengangkat lemah kain untuk menutupi wajah dan juga badannya. Dia sudah pergi dengan selamat ke destinasi terakhirnya.
Aku bangun meninggalkan jasad yang kaku itu. Sekejap-sekejap aku melihat ke arah katil miliknya. Mengharap akan ada yang datang. Mengharap akan ada ahli keluarganya yang berasa sedih akan kehilangangnya. Malangnya tiada, lelaki tua itu ternyata sebatang kara. Tiada yang datang menuntut jenazahnya. Keluhan kecil aku lepaskan. Seakan terguris perasaan aku. Kata-kata keramat daripada lelaki tua itu akan aku ingat sampai nafas terakhirku.
“Moga sepanjang pak cik berada didalam wad ni menjadi asbab untuk kamu masuk ke syurga………” Bunyi dentuman guruh yang tiba-tiba menyedarkan aku daripada kenangan lama. Bicara tua itu tergiang-ngiang di telingaku dan semakin perlahan dan akhirnya hilang. Aku memaksa badanku untuk bangun dan sujud kepadaNYA. Memohon doa agar segala kesilapan dan kekhilafan sepanjang merawat dan menjaga mereka dimaafkan.
***
Qullun nafsin zaa iqatul maut. Setiap yang hidup pasti akan merasakan kematian. ( Surah Ankabut, 57).
Profil Penulis:
Manusia biasa seperti insan lain. Tiada kuasa supernova. Berdarah bila luka. Kecewa bila dikhianati dan disakiti. Menangis bila kesedihan dan ketawa bila bahagia membaluti diri. Obses terhadap bidang penulisan.
0 Response to "CERPEN "Kematian Demi Kematian ""
Post a Comment